Monday, April 20, 2009

DASAR BUKU NEGARA 2.....


TAJUK :
Dasar Buku Negara perlu mampu atasi ledakan ICT

SELEPAS 25 tahun dilaksanakan dan pelbagai perubahan berlaku dalam bidang pendidikan, memang sudah tiba waktunya Dasar Buku Negara dinilai semula. Dasar yang dilancarkan pada 1985 itu tentunya memerlukan suntikan baru selaras dengan kehadiran teknologi maklumat yang terlalu pantas kini, bagi memastikan matlamat untuk membudayakan amalan membaca di kalangan rakyat mengikut tuntutan semasa. Dalam tempoh berkenaan, terlalu banyak perubahan berlaku terutama ledakan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) yang turut mempengaruhi budaya membaca. Dari sudut meningkatkan tahap literasi rakyat, Dasar Buku Negara mencatat kejayaan membanggakan apabila 93.2 peratus penduduk berumur 15 tahun dan ke atas kenal huruf. Malah kita boleh berbangga kerana kadar boleh baca rakyat negara ini meningkat berbanding negara sedang membangun lain, walaupun tidak menyamai Jepun, Amerika Syarikat, Australia dan Jerman yang mencecah 99 peratus tahap literasi di kalangan penduduk. Kesan daripada sistem pendidikan negara yang mewajibkan pendidikan asas ketika berumur tujuh tahun membolehkan kadar literasi melebihi 90 peratus tercapai. Walaupun kadar literasi di negara ini tinggi, budaya membaca di kalangan penduduk masih pada tahap rendah dan tidak membanggakan. Malah kajian turut mendapati golongan menengah lebih gemar membaca bahan bacaan ringan berbentuk fiksyen berbanding buku yang bermutu tinggi. Pola pembacaan masyarakat bawahan juga tidak banyak berubah apabila mereka masih terikat kepada bahan bacaan picisan dan menggemari cerita tahyul yang tidak membawa kepada perubahan minda.

Justeru, kita berharap Kementerian Pelajaran yang diterajui Tan Sri Muhyiddin Yasin dapat merangka pelan baru lebih menyeluruh supaya perubahan Dasar Buku Negara dapat memberi impak kepada perkembangan minda masyarakat. Ini penting bagi membolehkan budaya membaca terus meningkat di kalangan masyarakat, di tengah-tengah revolusi ICT terutama cabaran digital sekarang yang menyebabkan ramai tidak mempedulikan buku lagi. Kajian juga mendapati budaya membaca masyarakat Barat yang selama ini menjadi kebanggaan mereka semakin merosot terutama di kalangan generasi muda yang terdedah kepada ICT. Jika masyarakat Barat yang ketagih dengan bahan bacaan boleh bimbang terhadap budaya membaca generasi mudanya, masyarakat kita langsung tidak memberi perhatian kepada budaya membaca apalagi menyediakan perpustakaan di rumah. Kecenderungan sebahagian kita menawarkan apa saja bahan bacaan yang diminati masyarakat terutama hal-hal picisan dan tidak membangunkan minda turut dikesali. Kita sepatutnya mengubah sikap sedemikian bukan mengambil kesempatan menambahkan lagi rasa tidak peduli masyarakat terhadap bahan bacaan bermutu. Memang sukar untuk mengubah minda masyarakat supaya menjadikan membaca buku satu budaya, terutama melawan pengaruh televisyen dan perkakasan digital yang boleh mengalihkan tumpuan daripada buku. Namun, ia tidak harus mematikan semangat kita untuk terus mencari pendekatan terbaik mengubah minda masyarakat supaya menjadi penggemar buku dan penilaian ke atas Dasar Buku Negara adalah permulaan ke arah itu.

Sumber : Petikan Minda Pengarang Berita Harian Online

No comments: