Monday, July 20, 2009

MALAYSIA vs MANCHESTER UNITED

PERLAWANAN PERTAMA

MALAYSIA (2) MANCHESTER UNITED (3)
MAS: Mohd AmriYahyah (45, 53)
MAN: Wayne Rooney (8); Nani (27); Michael Owen(84)

Meskipun Malaysia tampil tanpa diletakkan sebarang harapan, dua jaringan bergaya Mohd Amri Yahyah dengan menewaskan penjaga gol terkenal, Edwin Van der Sar dan Ben Foster di Stadium Nasional, Bukit Jalil petang semalam nyata menyentap emosi penyokong-penyokong tempatan yang rata-ratanya menyarung jersi merah Manchester United.

United hanya mampu menarik nafas lega pada minit ke-84 selepas berjaya meledakkan gawang Malaysia menerusi penyerang yang baru ditandatanganinya, Michael Owen.

Kehadiran United dalam perlawanan semalam adalah bagi memenuhi Jelajah Asia 2009 sebagai ujian kecergasan terhadap pemain-pemainnya sebelum musim baru liga bermula.

Pengurus Red Devils, Sir Alex Ferguson tidak dapat menyembunyikan perasaan kagumnya melihat aksi permainan pantas yang ditunjukkan skuad kendalian K Rajagobal sehingga memerangkap barisan pertahanan dan penjaga gol juara Liga Perdana Inggeris (EPL) itu menerusi dengan dua jaringan Amri pada minit ke-45 dan 53.

Kekalahan tipis 2-3 yang dialami Malaysia jauh berbeza dengan aksi pasukan negara ketika menentang United dalam kunjungan terakhir kelab Inggeris itu pada 2001 apabila tewas 0-6.

Amri bijak menghukum kealpaan Van der Sar melalui sepakan lambung melepasi jangkauan penjaga gol kebangsaan Belanda selepas menyedari dia berada di luar posisi sebenar.

Pemain Selangor yang beraksi hambar dalam dua perlawanan pemanas badan menentang Zimbabwe sebelum ini jelas mengemudi jentera tengah Malaysia dengan baik.

Amri sekali lagi membuktikan bahawa jaringan pertamanya itu bukan tuah semata-mata apabila memintas hantaran belakang Darron Gibson kepada Ben Foster yang dimasukkan menggantikan Van der Sar pada babak kedua untuk menolak masuk gol kedua Malaysia sekali gus menggamatkan peminat di Bukit Jalil.

Sebelum itu pada babak pertama, United terlebih dulu mendahului skuad negara 2-0 menerusi jaringan Wayne Rooney seawal minit kelapan disusuli gol kedua pada minit ke-27 hasil sumbangan Nani.

United berjaya memecah kebuntuan gol apabila Michael Owen yang masuk menggantikan Rooney berjaya meledakkan jaringan kemenangan ketika perlawanan berbaki enam minit sebelum tamat sekali gus membuktikan pelaburan dibuat oleh Ferguson ke atasnya berbaloi.

Sementara itu, United semalam bersetuju melanjutkan tempoh persinggahan mereka di Kuala Lumpur sehingga Rabu ini dengan mengatur perlawanan ulangan menentang Malaysia di Stadium Nasional Bukit Jalil pada jam 8 malam esok.

Justeru harga tiket RM308 untuk tempat duduk utama dan RM58 tempat terbuka mula dijual di kaunter 'pintu hijau' Stadium Nasional bermula jam 12 tengahari ini.

Perkembangan terkini itu diumumkan Ketua Pegawai Eksekutif ProEvents, Julian Kam selepas perlawanan semalam.

Ketua Pegawai Eksekutif United, David Gill berkata, disebabkan kunjungan ke Indonesia dibatalkan, pasukan itu mengambil keputusan kekal di negara ini selepas amat berpuas hati dengan persiapan Malaysia.

"Kami terpaksa menolak rayuan Indonesia berikutan isu keselamatan sejajar dengan keputusan yang sudah dibuat kelmarin. Kami juga mengetepikan pelawaan Australia kerana terlalu sukar menguruskan aspek logistik pada saat akhir," katanya dalam sidang akhbar khas semalam.

SKUAD MALAYSIA: Mohd Farizal Marlias, Mohd Asraruddin Umar (Mohd Azmi Muslim), Norhafiz Zamani Misbah (kapt) (K Gurusamy), Mohd Aidil Zafuan, Mazlizam Mohd (V Thirumurugan), Safiq Rahim (Mohd Sabree Mat Abu), Amar Rohidan (Mohd Bunyamin Omar), Indra Putra Mahyuddin (Badrol Bakhtiar), Mohd Amri Yahyah, Mohd Khyrill Muhymeen, Zaquan Adha (Norshahrul Idlan Talaha)

SKUAD MANCHESTER UNITED: Edwin Van der Sar (Ben Foster), Patrice Evra, Rio Ferdinand (West Brown), Anderson (Ryan Giggs), Dimitar Berbatov (Ferico Macheda), Wayne Rooney (Michael Owen), Nani, Paul Scholes (Zoran Tosic), John O Shea, Jonny Evans, Darron Gibson

4 comments:

Anonymous said...

wahai rakyat Malaysia, "TEPUK WALLET, TANYA IC"...

masa kat bukit jalil ni aku perhatikan sorang-sorang pakai jersi MU dengan penuh bangga. Pastu bila tengok aku dengan jersi & mafla Malaysia, diorang ni pandang aku dengan rasa yang amat pelik. Salah ke aku pakai jersi Malaysia kat tanah air aku sendiri? Yang diorang ni pandang pelik kat aku tu aper diorang pernah ke pijak Old Trafford? Yang best tu siap kepoh yer2 bukan kata "AKULAH PENYOKONG TEGAR M.U"...penyokong? tegar? aku rasa better diorang baca karangan SPM aku ni...

http://sopangayopojuang.wordpress.com/2009/07/20/antara-hooligans-penyokong-dan-penonton/

tapi yg paling best bila tggl lg 10 mnt...MU 2 - Msia 2...terus nama Owen disorak2 suruh dimasukkan...kehkehkeh!!! nampak sgt diorg sudah goyang...tggl lg 5 mnt baru fans MU ni lega bila owen score...klu tk mmg lg kuat la aku nganjing2...hahahahahahaha!!!!!

"PROUD TO BE ARMIES OF MALAYAN TIGERS"

Penakumenulis said...

Sopangayopojuang : Hallo kawan...mesti diaorg pandang ko mcm alien kan..mcm pelik je ko pakai lain dr yg lain.....padahal kat tanah sendiri...biasalah.....

Anonymous said...

En.Pahang: Sekali dia ckp arab daaa..

Penakumenulis said...

En. Pahang : Heheheheheheh