PERLAWANAN KEDUA
MALAYSIA (0) MANCHESTER UNITED (2)
MAN: Federico Macheda (10); Michael Owen(12)
Juara Liga Perdana Inggeris (EPL), Manchester United menumpaskan Malaysia 2-0 dalam perlawanan persahabatan kedua di Stadium Nasional di Bukit Jalil malam tadi.
Kedua-dua gol pasukan pelawat dijaringkan pada separuh masa pertama dengan disambut meriah 40,000 penyokong yang berada di stadium sejak jam 6 petang.
Red Devils sepatutnya dijadualkan menentang pasukan Indonesia di Jakarta malam tadi, tetapi insiden pengeboman di ibu negara itu pada Jumaat lalu memaksa United membatalkan kunjungan.
United membuka jaringan pertama pada minit ke-10 melalui Federico Macheda yang menolak mudah bola hasil umpanan Darren Fletcher.
Dua minit kemudian, penyerang baru United, Michael Owen menghukum kesilapan ketua pasukan Malaysia, Norhafiz Zamani Misbah dengan merampas bola yang gagal dikawal kemas sambi menendang lemah ke gawang ketika penjaga gol, Mohd Farizal Marlias sudah terkeluar dari posisi sebenar.
Mohd Amri Yahyah dan Mohd Zaquan Adha bekerja keras mencari gol pembukaan bagi mengurangkan jurang tetapi asakan demi asakan yang cuba dilakukan dapat dibaca dan dikawal benteng pertahanan United yang diketuai Wes Brown.
Sebelum perlawanan malam semalam bermula, penonton terlebih dulu bertafakur seketika bagi menghormati mangsa yang maut akibat insiden pengeboman di Jakarta pada Jumaat lalu.
Kunjungan United ke Kuala Lumpur kali ini adalah kali keempat selepas tahun 1991, 1995 dan 2001.
Dalam aksi persabahatan 2001 itu, Manchester United yang dibarisi bintang ternama seperti Ruud van Nistelrooy dan David Beckham membelasah Malaysia 6-0.
No comments:
Post a Comment