HADIRKAH DIA?




PROLOG

2010.....(DEWAN BESAR SEKOLAH)

Atas permintaan senior sekolahnya, Riana dan Ady akhirnya bersetuju untuk memenuhi permintaan itu. Di atas pentas, Riana ditemani Ady untuk membuat persembahan. Ady mengambil tempat di sebelah Riana. Riak wajah Riana sudah menggambarkan yang hatinya agak kecewa kerana Arit tidak kelihatan di malam itu. Sebagai sahabat, Ady memahami apa yang bermain di dalam hati Riana. Antara Riana dan Arit tiada hubungan cinta, tetapi eratnya hubungan persahabatan yang terjalin sejak kecil telah membuahkan satu perasaan yang sukar diungkapkan dengan kata-kata. Arit dan Riana terputus hubungan sejak di tingkatan tiga kerana Riana mengikut keluarganya ke luar negara. Dan mereka berdua telah membuat satu perjanjian, bahawa masing-masing akan menghadiri majlis reunion sekolah. Ady sendiri yang menjadi saksi perjanjian antara Arit dan Riana di tepian tasik Teratak Nilam Sari. Namun malam ini, salah seorang daripada mereka telah mengingkari perjanjian iaitu, Mohd Harith Iskandar manakala Nur Adriana masih setia dengan janji. Sehingga kini, tiada siapa mengetahui ke mana menghilangnya Arit sebaik tamat persekolahan. Ady sendiri, biarpun bersama Arit sejak di teratak juga tidak mendapat khabar berita dari sahabatnya itu.
Persembahan bermula. Jari Ady memetik piano mengikut melodi yang telah tercipta. Riana menarik nafasnya dan dilepaskan perlahan. Ketenangan itu yang dicari. Biola di tangannya digesek perlahan, menyambung melodi dari petikan piano yang dimainkan Ady, lantas bunyi itu bersatu menjadi melodi yang cukup indah. “Romance on violin”, itulah tema muzik yang dimainkan oleh mereka berdua adaptasi daripada filem animasi La Corda D’Oro. Saat muzik itu bergema, satu-persatu kenangan lalu Riana datang bertandang. Kenangan indah itu diserap ke dalam jiwanya dan diluahkan melalui persembahannya biarpun pasangan duetnya pada malam itu bukanlah Arit. Melodi itu sudah cukup baginya untuk mengembalikan kenangan bersama teman sepermainannya itu. Setitis demi setitis airmata Riana gugur di sebalik kerdipan matanya. Ady perasan airmata itu. Hanya perasaan simpati yang mampu dilahirkan di dalam hatinya taktala melihat airmata Riana. Kedua-dua sahabat itu bersungguh-sungguh menghayati persembahan mereka. Sehinggakan ada segelintir tetamu di dalam dewan itu tertanya-tanya seperti dapat merasakan ada cerita yang pernah tercipta di sebalik persembahan malam itu. Benar. Memang ada cerita disebaliknya. Cerita tentang harapan seseorang untuk melihat kehadiran sahabatnya. Persoalannya, hadirkah dia?....

*****************************************

1995 – (TERATAK NILAM SARI)

Setiap hujung minggu, Puan Zulaikha akan mengunjungi Teratak Nilam Sari. Ada sahaja yang akan dibawa sebagai buah tangan taktala mengunjungi teratak itu. Kegembiraan jelas terpancar dari riak wajah anak-anak di teratak itu ketika menerima buah tangan yang dibawa. Keakraban terjalin di antara mereka bagaikan saudara kandung biarpun dari latar belakang keluarga yang berbeza. Tiada tempat berteduh, mengemis di tepi jalan, ditinggalkan di hadapan pintu teratak ini ketika bayi dan hidup dalam kesusahan, itu semua adalah perjalanan awal kehidupan rata-rata penghuni teratak ini.
Teratak Nilam Sari dibina atas ehsan seorang kawan Puan Zulaikha, telah memberi sinar harapan kepada kanak-kanak dalam meneruskan kehidupan mereka. Terletak di pinggir sebuah bandar, teratak ini menghadap sebuah tasik semulajadi yang belum tercemar dek pembangunan, dikelilingi pohon-pohon hutan yang merendang, dan dikelilingi banjaran gunung-ganang serta hamparan rumput hijau sudah pasti menggamit pandangan sesiapa sahaja yang datang berkunjung ke sini. Ibarat sebuah taman ciptaan di dalam kisah dongeng dahulu kala. Tawa riang anak-anak di situ sudah cukup memberi tanda yang mereka gembira tinggal di teratak ini. Seperti sudah menjadi satu rutin, setiap kali hujung minggu pasti ada sahaja insan yang berhati mulia datang bertandang memberi sumbangan buat penghuni teratak, termasuklah Puan Zulaikha sendiri yang tidak pernah jemu mengunjungi bersama puteri kesayangannya, Nur Adriana yang berumur dua belas tahun. Di Teratak Nilam Sari, Riana berkawan rapat dengan Arit. Seorang budak lelaki yang sebaya dengannya. Insiden tergelincir di tebing tasik itu telah menjadi titik permulaan persahabatan mereka berdua. Dari persahabatan itu, Riana juga dapat mengenali Ady dan Syakirah yang merupakan kawan baik Arit di teratak.
“Tau tak, tu bunga apa?” Arit bertanya sambil jarinya dihalakan ke tengah tasik yang tenang itu.
“Eleh, itu bunga teratailah. Ingat orang bodoh ke?” Arit ketawa mendengar jawapan Riana. Lesung pipit Arit terserlah bila dia ketawa.
“Bunga teratai boleh makan tau.” Arit sengaja menambahkan kekeliruan Riana.
Riana mengerutkan dahinya.
“Kenapa..tak percaya?”
“Bunga mana boleh makan. Arit tipu.”
“Betullah. Kalau tak percaya, jom kita pergi tanya Ummi.”
Mereka berdua berlari mendapatkan Ummi yang sedang berbicara dengan Puan Zulaikha.
“Kenapa ni Arit, macam kena kejar hantu.” Arit hanya tersengih.
“Riana?” Puan Zulaikha bertanya kepada anak perempuannya.
“Mama, Arit cakap bunga teratai boleh makan. Betul ke?”
Puan Zulaikha tersenyum dan mengiakan soalan Riana itu. Riana memandang muka Arit yang berada di sebelah Ummi. Dia tersenyum kerana Arit tidak menipunya.

******************************************

Kocakan air berserakan di permukaan tasik apabila seekor pepatung cuba mencecahkan kakinya di atas permukaan tasik itu. Beberapa saat kemudian air itu tenang semula. Di bawah pohon sena yang terletak di tepi tasik itu, kelihatan Riana, Arit, Ady dan Syakirah duduk di atas akar sena yang besar.
“Riana, awak pernah dengar lagu Gurindam Jiwa?” Syakirah bertanya.
“Pernah. Kenapa?”
“Bolehlah kita nyanyi sama-sama. Kat sini kitaorang selalu nyanyi lagu tu. Kak Siti ajar.”
“Best nyer. Tapi kita tak tau lirik lagu tu.”
Riana memberitahu.
“Takpe, Arit boleh ajar Riana nyanyi lagu ni. Suara Arit sedap.” Riana tersenyum mendengar kata-kata Syakirah. Siapa sangka, Arit pandai menyanyi.

Tuai padi antara masak
Esok jangan layu-layuan
Intai kami antara nampak
Esok jangan rindu-rinduan

Anak cina pasang lukah
Lukah dipasang di Tanjung Jati
Di dalam hati tidak ku lupa
Sebagai rambut bersimpul mati

Batang selasih permainan budak
Daun selasih dimakan kuda
Bercerai kasih bertalak tidak
Seribu tahun kembali juga

Burung merpati terbang seribu
Hinggap seekor di tengah laman
Hendak mati di hujung kuku
Hendak berkubur di tapak tangan

Kalau tuan mudik ke hulu
Carikan saya bunga kemboja
Kalau tuan mati dahulu
Nantikan saya di pintu syurga

Tanpa jemu Arit membetulkan alunan lagu yang dinyanyikan Riana. Lama-kelamaan alunan itu menjadi betul. Kali ini, mereka berempat mengalunkan lagu Gurindam Jiwa bersama-sama.
“Wah..kita dah pandai nyanyilah.” Riana berasa gembira bila dapat menguasai  lagu itu.
“Tengoklah siapa yang ajar.” Jawab Arit bangga.
“Ish..berlagak pulak tu.”
“Sikitlah.” Arit mengiyakan ayat Riana itu. Riana menjelirkan lidahnnya.
“Sedap jugak kita nyanyikan.” Ady memuji.
“Memanglah sedap sebab ada aku.” Riana pula memuji diri sendiri.
“Taklah, memang suara kita berempat sedap.” Syakirah menyambung.
Mereka berempat ketawa mendengar jawapan Syakirah.

***********************************************

“Arit cepat! Diaorang jauh lagi.” Syakirah dan ahli kumpulannya menjerit kepada Arit yang menjadi harapan setelah semua kawan-kawan dalam kumpulannya dah “mati” kene baling selipar. Mendengar jeritan itu, Arit dengan sepantas mungkin menegakkan kembali selipar yang berterabur di atas tanah. Namun dikala selipar itu tinggal satu sahaja, Riana sudah berada dekat dengannya.
“Puk”. Selipar itu dibaling tepat mengena pada belakang Arit. Group Riana bersorak kerana dapat mematikan pihak lawan.
“Yes”. Riana gembira kerana balingannya tepat mengena ke belakang Arit.
Group Riana mengambil tempat sebagai penyusun selipar. Susunan selipar itu dibina kembali oleh Arit. Ady sebagai pembaling pertama berjaya menjatuhkan binaan selipar itu. Group Arit memasang strategi mengepung pihak lawan. Selipar dibaling bersilih ganti dari tangan ke tangan. Nani melempar selipar kepada lawan yang berdekatan dengannya. Sedikit tersasar. Selipar itu dikutip kembali oleh Syakirah. Strategi pertama tidak menjadi. Disusun kembali oleh kumpulan itu. Manakala Riana dan ahli kumpulannya begitu berhati-hati kerana rata-rata dikalangan ahli Arit merupakan pelempar selipar yang tepat. Ketika Syakir bersedia untuk melempar selipar itu, kedengaran suara Ummi memanggil supaya berhenti bermain kerana hari semakin menginjak senja. Semua menuruti arahan Ummi dan permainan mereka berhenti setakat itu. Semua mengambil semula selipar masing-masing begitu juga Arit dan Riana. Riana menuju ke arah Puan Zulaikha yang sedang menanti di pintu kereta.
“Amboi..comotnya anak ibu.” Riana hanya tersengeh.
“Bye kawan-kawan.”
“Bye Riana.”
Serentak Arit, Ady dan Syakirah bersuara.
“Aunty balik dulu ye.” Sudah menjadi kebiasaan, mereka bertiga akan menyalam tangan Puan Zulaikha sebelum mereka pulang. Setelah kereta itu, hilang dari pandangan, mereka melangkah masuk ke dalam teratak untuk rutin seterusnya di malam hari.

****************************************************

2010....(RUMAH SEWA)

{ Bertahun sudah berlalu, dia tidak mungkin ku lupa. Biarpun tiada cinta yang bersemi, tetapi hubungan persahabatan yang terjalin lebih bernilai dari hubungan sebuah cinta }
Dalam leka dia mencoretkan isi hati di dalam diari kesayangannya, penulisan Riana terhenti dek sapaan Azwani dari belakang.
“Oit, panjangnya karangan kau?”
“Ish kau ni Az, main terjah je. Terperanjat aku.”
Cepat-cepat Riana menutup diari hijaunya itu. Tetapi Riana tahu yang Az tidak akan membacanya. Az amat menghormati privasinya itu. Bukan sehari dua dia mengenali Azwani, semenjak menyambung pengajian di UK sehinggalah kembali ke Malaysia, apatah lagi bekerja di bawah satu bumbung yang sama dan berkongsi rumah sewa, hubungan mereka amat rapat. Ibarat kata orang, tiada rahsia antara mereka berdua.
“Kali ini apa pulak yang kau karangkan?”
“Luahan hati je.”
“Iyelah tu. Kau luahkan perasaan kau dengan Arit yer, kat dalam diari tu?”

Riana hanya tersenyum. Tiba-tiba malam itu dia teringat pada teman sepermainannya itu. Sejak meninggalkan Malaysia dulu dia belum pernah sekali pun bertemu dengan Arit. Perhubungan itu terputus dan tiada khabar berita dari Arit. Yang ada hanya berita tentang dua lagi sahabatnya, Ady dan Syakirah.
Surat undangan majlis reunion sekolah telah diterima. Hanya seminggu sahaja lagi majlis itu akan diadakan. Disaat itulah perjanjian yang termeterai akan terjawab. Hadirkah dia malam itu nanti. Riana sendiri tidak pasti dengan kehadiran Arit, tetapi keyakinan hati itu kadangkala amat diperlukan.
Azwani seperti sedang memikirkan sesuatu. Secara jujur, Azwani tidak pernah mengenali siapa Arit dalam hidup sahabatnya itu. Dia hanya mengetahui cerita Arit dari mulut Riana sendiri dan juga terdengar perbualan Riana dengan Ady. Namun dari cerita dan perbualan itu, Nurul dapat merasakan Arit begitu bermakna bagi Riana. Sebagai sahabat, dia takut pengharapan Riana yang begitu tinggi. Setahunya, semenjak berpisah berbelas tahun dahulu, mereka tidak pernah bertemu. Raut wajah Azwani mengundang seribu persoalan di mata Riana.
“Kenapa?” Riana bertanya.
“Kalau aku tanya sesuatu, kau jangan kecil hati tau.”
“Kecil hati? Apa dia?”
Riana menyoal kembali kepada Azwani.
“Kau yakin ke Arit akan datang majlis reunion tu nanti?”
Riana senyap seketika. Memikirkan jawapan yang sesuai untuk pertanyaan Azwani itu.
“Macam mana kalau dia tak datang. Iyalah selama ini pun, kau tak pernah dengar berita dari Arit, bahkan menurut kata kawan-kawan kau yang lain, tiada sesiapa tahu di mana dia sekarang. Kau yakin ke dia masih ingat lagi dengan janji itu?”
Bertalu soalan Azwani. Bukan niat di hatinya untuk menambahkan kegusaran di hati Riana, cuma dia nak Riana optimis dengan sebarang kemungkinan.
“Entahlah. Aku pun tak pasti dengan janji itu. Tapi aku harap dia akan datang kerana itu janji dia pada aku.” Riana menjawab dalam pasrah.
“Hopefully.” Azwani membalas dengan ringkas.
Memang ada kebarangkalian Arit akan datang atau tidak. Tetapi entah kenapa dia berdegil dengan hatinya. Mengharapkan sesuatu yang tidak pasti.

******************************

Tuai padi antara masak
Esok jangan layu-layuan
Intai kami antara nampak
Esok jangan rindu-rinduan

Suara Azwani sedap kedengaran ditelinga Riana bila menyanyikan lagu itu. Macam suara Farah Wahida ketika berduet dengan Dato’ A. Rahman Hassan. Riana pun mengikut sama menyanyikan lagu Gurindam Jiwa. Menyanyikan lagu itu, membuatkan Riana teringat pada Arit, Syakirah dan Ady ketika mereka bersama-sama menyanyi di bawah pohon sena ketika dahulu. Dan paling tidak dilupakan, bagaimana Arit mengajarnya menyanyikan lagu ini dalam lenggok yang betul di tepi tasik berhampiran Teratak Nilam Sari. Teratak Nilam Sari? Sudah lama dia tidak menjengah ke teratak itu.

***************************

Buat pertama kalinya, setelah berbelas tahun meninggalkan Malaysia, akhirnya Riana menjejakkan kaki ke Teratak Nilam Sari. Tempat yang banyak meninggalkan seribu satu kenangan buat dirinya. Sudah banyak perubahan. Bangunan sudah bertukar warna. Kalau dahulu warna ungu menghiasi dinding bangunan itu, kini, tersergam indah teratak yang dicat dengan warna kuning. Ada air terjun mini di tepi pintu masuk teratak. Suasananya tetap seperti dahulu. Damai. Tasik itu masih ada. Teratai juga masih ada. Dia tersenyum sendirian. Ketuanya sudah berganti. Bukan lagi Ummi Aisyah. Penghuninya juga sudah berganti.
“Assalammualaikum..” Suara perempuan yang berumur dalam linkungan 50-an, menyapanya dari belakang. Agak terkejut Riana, bila ada orang menyapanya ketika sedang mengelamun.
“Waalaikumussalam.”
Mereka berjabat tangan.
“Dari tadi bonda lihat, anak ni seperti mencari seseorang. Ada apa-apa yang boleh bonda bantu?”
Riana tersipu malu. Dia lupa yang dia bukan lagi dikenali di sini, boleh masuk sesuka hati.
“Maafkan saya bonda. Sebenarnya saya dah terbiasa di sini dulu. Lupa pula, sekarang tak sama seperti dulu. Saya Riana, Nur Adriana.”
“Ohh...bonda ingatkan anak ini mencari seseorang di sini. Saya bonda Manisah. Tetapi penghuni di sini memanggil saya bonda Anis sahaja.”

Bonda Anis mempelawa Riana ke dalam. Langkah bonda dituruti.
“Boleh bonda bertanya sesuatu, itupun jika Riana tidak keberatan?”
Riana senyum dan menganggukkan kepalanya.
Dulu, Riana penghuni teratak ini ke?”
“Mmmm...sebenarnya saya bukan penghuni di sini. Tetapi dahulu saya selalu berkunjung ke teratak ini  setiap hujung minggu bersama ibu.”
“Bersama ibu?. Siapa nama ibu Riana?”
“Zulaikha. Bonda kenal dengan ibu saya?”

Bonda Manisah tersenyum.
“Alhamdulillah. Akhirnya, bonda dapat bertemu jua dengan orang yang banyak memberi sumbangan pada teratak ini. Siti ada memberitahu pada bonda, dahulu ada seorang wanita yang baik hati selalu datang ke sini bersama anak perempuannya. Bonda pula tak berpeluang bertemu dengan orang itu kerana dengar cerita keluarga Puan Zulaikha berpindah ke German mengikut suaminya menyambung pengajian di sana. Tetapi akhirnya dapat jua bonda bertemu dengan anak perempuannya. Nanti sampaikan salam bonda pada ibu Riana ya.”
Riana menganggukkan kepalanya.
“Insyaallah. Nanti Riana akan sampaikan pada ibu. Erm..aunty Siti pun dah berhenti ke bonda?” Teringat Riana pada Aunty Siti yang suka bercerita dan menyanyi itu.
“Selepas berkahwin, dia mengikut suaminya yang bertugas di utara.”
“Ummi Sofea?”
“Kalau tak silap bonda dia pulang ke kampungnya di Kedah.”

Rindu Riana pada Ummi Sofea. Serba sedikit cerita orang-orang kesayangannya diketahui. Cerita itu akan disampaikan kepada ibunya kelak. Namun, tentang Arit tiada siapa yang tahu. Bonda Anis memberitahu, tiada pemuda bernama Mohd Harith Iskandar atau Arit yang datang menziarahi teratak ini semenjak dia mengambil alih teratak ini dari Ummi.
Tiba-tiba dia teringat sesuatu.
“Tetapi......” Bonda Anis cuba mengingati kembali peristiwa itu.
“Kenapa bonda?”
“Kalau tak silap bonda, pernah sekali dulu, lebih kurang sebulan yang lepas, ada seorang pemuda berdiri lama di tepi tasik itu.”
Cerita bonda sambil menunjukkan tasik yang dimaksudkan itu.
“Tetapi baru bonda hendak melangkah, dia pun pergi.”
Riana bermonolog dengan dirinya sendiri. Adakah pemuda itu Arit?
Riana meminta diri untuk bersendirian di tepian tasik itu sebentar dan Bonda Anis membenarkannya.
Akar pohon sena yang besar menjalar itu dijadikan tempat duduk. Angin bertiup perlahan. Ala-ala sepoi-sepoi bahasa. Air tasik itu tenang mengalir mengikut arus. Sesekali timbul kocakan di dasar tasik itu. Seketika tadi, hatinya sedikit bergetar apabila bonda Anis memberitahu ada seseorang pernah menjengah di tepian tasik itu. Terngiang-ngiang di telinganya suara Arit menyanyikan lagu gurindam jiwa, suara Ady ketawa sampai terguling-guling ke atas tanah dan suara nyaring Syakirah memarahi Ady dan Arit apabila mereka berdua mengenakannya. Semua itu terakam indah di dalam memori mindanya dan tidak akan terpadam sampai bila-bila. Saat indah itu hanya datang sekali seumur hidup. Riana mengeluarkan buku catatannya yang di bawa ke mana sahaja setiap hari untuk menulis seandainya ada sesuatu yang terlintas di fikirannya kala itu.
“Selepas pulang dari UK setahun yang lalu, buat pertama kali aku menjejakkan kaki ke tempat yang pernah menyimpan kenangan zaman kanak-kanakku. Kenangan yang hanya datang sekali seumur hidup. Kenangan itu dibawa ke mana-mana sahaja, kerana dari kenangan itulah aku belajar erti persahabatan yang sebenar. Bermula dari insiden aku tergelincir ke dalam tasik sehinggalah ke saat terakhir di mana termeterainya perjanjian antara aku dan Arit sebelum berlepas ke bumi German. Arit....ke manakah kau menghilang. Aku berharap agar kau datang di majlis reunion itu nanti.” Coretannya terhenti di noktah itu. Hari semakin gelap menandakan senja akan mengambil alih apabila siang mengundur diri. Biarpun hatinya terasa berat untuk melangkah namun Riana terpaksa  pergi meninggalkan tempat itu dengan harapan dia akan bertemu dengan apa yang dicari.

*******************************************************

SEHARI SEBELUM MAJLIS REUNION SEKOLAH....

Sebaik sahaja melangkah masuk ke rumah itu, matanya terus ternampak piano diruang tengah rumah milik keluarganya. Perlahan Riana melangkah ke ruang itu. Kala pulang, ibu dan bapanya tiada di rumah kerana menghadiri satu majlis di rumah salah seorang kenalannya. Itu seperti yang diberitahu oleh pembantu rumahnya. Di waktu terluang Riana mencuri masa untuk menjengah orang tuanya.
“Cik Adriana nak makan ke? Kalau nak makan nanti saya siapkan makanannya.” Sapa pembantu rumahnya.
“Erm..takpelah kak Ima, kalau lapar nanti saya ambil sendiri.” Riana membalasnya. Setelah mendengar jawapan anak majikannya, kak Ima meninggalkan Riana keseorangan di ruang itu.
Matanya kembali fokus ke arah piano itu.

(Piano......dan kenangan itu datang semula...)
“Arit, pandailah kau main piano. Mana belajar?”
“Tak taulah. Mungkin aku ada keturunan yang pandai main piano kot.”
Arit paling suka dengan melodi “Romance in violin”. Riana yang pada mulanya mengatakan itu lagu untuk orang jiwang, akhirnya akur dengan melodi indah lagu itu. Semakin lama, semakin melodi itu dekat jiwanya. Riana masih ingat lagi ketika dijemput membuat persembahan di Teratak Nilam Sari berduet dengan Arit. Dia bermain biola dan Arit bermain piano. Usai persembahan, mereka berdua mendapat tepukan gemuruh. Sehingga kini, kenangan itu tidak mungkin luput dari ingatannya.
Petang itu, Riana menghabiskan masanya di gazebo laman rumahnya. Hujan yang tadi lebat kini hanya renyai. Sejuk dan nyaman apabila angin petang bertiup. Lengkungan pelangi di langit petang menggamit perhatiannya. Subhanallah...cantiknya pelangi ciptaan Yang Maha Esa. Pelangi memang indah. Setiap lapisannya dibezakan dengan tujuh warna yang berlainan, menjadikan ianya ciptaan yang sungguh unik.

(Pelangi....dan kenangan itu menjengah kembali.)
“Eh, Arit..tengok tu pelangi.” Jari telunjuknya menunjuk ke arah pelangi.
“Riana, jangan tunjuk nanti tangan kudung.” Arit cuba menakutkan Riana. Cepat-cepat Riana  menyorokkan tangannya ke belakang. Ketika itu Arit dah terguling-guling ketawa melihat muka panik Riana yang takut tangannya kudung. Barulah Riana sedar yang Arit menipunya. Dengan bercekak pinggang, dia memandang Arit yang tak berhenti ketawa. Ranting dikakinya diambil lantas memukul Arit. Namun Arit dapat melarikan diri. Bermulalah adegan kejar-mengejar antara mereka berdua. Riana tersenyum sendirian bila mengingati peristiwa itu. Begitu indah.

Telefon bimbitnya berbunyi. Tertera nama Ady di skrin telefonnya.
“Hello, Riana...tengah buat apa tu?”
“Tengah mengelamun sambil melihat pelangi.”
“Aik, teringat adegan kejar-mengejar dulu ke?”
Ady meneka.
Riana hanya ketawa. Antara dia dan Ady memang tiada rahsia yang tersembunyi apatah yang berkait dengan Arit.
“Apa yang kau fikirkan sekarang Riana?” Ady begitu bijak membaca pemikiran Riana.
“Ady, kau rasa Arit datang tak?”
Di hujung talian terdengar suara Ady sedikit mengeluh.
“Erm...Riana, aku tak boleh bagi jawapan untuk soalan kau itu. Sebab aku sendiri pun tak pasti.”
Riana senyap dari berbicara.
“Riana, bukan maksud aku menidakkannya. Tapi aku tak nak kau berharap. Aku takut kau terluka nanti, seandainya Arit tidak hadir. Kita pun tahu, selama ini tiada khabar berita dari Arit.”
“Aku faham.”
Riana menerima alasan Ady.
“Kau marah dengan jawapan aku ke Riana?” Ady bertanya kembali. Takut-takut Riana terasa dengan jawapannya itu. Tapi itulah kebenarannya. Walaupun dia sendiri juga mengharapkan kehadiran sahabatnya Arit.
“Tak. Aku tak marah. Jawapan kau membuatkan aku tersedar dari angan-anganku.” Ikhlas Riana menjawab.
“Apa pun yang terjadi, aku nak kau bersedia menghadapinya.” Ady menasihati Riana.
“Thank’s Megat Ady Naufal.”
“You are welcome, Nur Adriana. Kau jangan fikir-fikir sangat tau. Kita jumpa besok kat majlis reunion.”
“Okay. See you tomorrow. Bye.”
Riana menamatkan panggilannya dengan Ady.
Tamat panggilan dari Ady, Riana termenung seketika. Nasihat dan kata-kata Ady ada benarnya.
Mungkin aku tak patut meletakkan harapan yang tinggi dengan kehadiran Arit. Kalau ditakdirkan, mungkin aku akan bertemu dengannya dan seandainya ia tidak terjadi, mungkin ada hikmah disebaliknya. Riana cuba mententeramkan hatinya sendiri dengan andaian yang dibuat.

*******************************************

EPILOG

Hari yang ditunggu sudah tiba. Pentas dewan begitu cantik dihias. Menggunakan warna latar biru sebagai tema, dengan penataan cahaya yang sedikit gelap, jelas menampakkan pentas itu gah di mata. Namun bagi pemuda ini, pentas itu amat suram baginya. Sesuram hatinya. Sepasang matanya menjadi pemerhati setia persembahan Riana dan Ady dari jauh. Pemuda itu berdiri jauh di belakang satu sudut dewan, dia menyembunyikan diri dari pandangan orang ramai. Hatinya tersentuh mendengar melodi yang dibawakan oleh Riana dan Ady secara duet itu. Romance in violin. Itulah melodi yang dimainkan bersama Riana ketika persembahan di Teratak Nilam Sari suatu ketika dahulu. Pandangan matanya berhenti tepat ke arah Riana yang sedang menggesek biola itu. Nur Adriana. Bayangan itu sentiasa hadir di dalam mimpi Arit. Wajahnya tidak banyak berubah. Melihatkan wajah itu, Arit berasa rendah diri yang teramat sangat. Dia malu dengan dirinya sendiri. Semua sahabatnya berjaya menggapai impian masing-masing. Tetapi tidak dirinya. Aku gagal mencapai impianku Riana. Maafkan aku. Aku rindu dengan kenangan persahabatan kita dahulu. Namun aku tak boleh berhadapan dengan kau. Aku malu. Arit berkata-kata sendirian. Dalam leka dia bermain dengan kata-kata dengan dirinya sendiri, tanpa disedari persembahan itu sudah habis. Bergema tepukan gemuruh dari para tetamu cepat-cepat menyedarkannya dan serentak dengan itu Arit melangkah perlahan keluar dari dewan besar itu. Melangkah pergi meninggalkan kenangan yang pernah tercipta antara dirinya dan Riana. Namun di dalam hati Arit, dia sentiasa berharap, seandainya suatu hari nanti mereka ditakdirkan bertemu dan Riana bertanya kepadanya, kenapa kau memungkiri janji dan tidak hadir malam itu? Jawapan Arit hanya satu....aku tak pernah memungkiri janji itu malah aku sentiasa hadir untuk dirimu. Hanya untukmu, Nur Adriana.

~ TAMAT ~












6 comments:

Anonymous said...

huh..... suke wat novel mcm nih kannnn ptt la kwn aku nangis bace novel nihhh

Penakumenulis said...

ANONYMOUS:
Heheheheheheheheheheh:-) sory....

Anonymous said...

tacing lagi...

Penakumenulis said...

ANONYMOUS:
Hehehehehe....:-)

Anonymous said...

apesal hehe plak... cpat la smbung cite cite anda sume

Penakumenulis said...

ANONYMOUS:
Saje je...:-)