EDISI KHAS RAYA : CORETAN SEORANG PERINDU (2)




PART 1

PROLOG
Suasana di dalam bilik yang dikongsi bersama Marlisa dipandang sepi. Lagu Pulanglah nyanyian Aisyah berkumandang di speaker komputernya. Tak semena-mena Iman teringat pada sebuah coretan yang masih belum berpenghujung. Sebuah kisah yang ditulis tahun lalu. Petang tadi baru saja si  Marlisa bertanyakan kesudahan cerita itu. Berkali-kali dia menyuruh agar coretan itu disambung, namun Iman hanya memberi alasan tiada masa. Namun malam ini, Iman dapat merasakan yang masanya sudah tiba untuk dia menyambung kisah itu lantas tangannya ligat menaip setiap bait-bait plot ceritanya berpaksikan idea-idea yang menjengah mindanya kala itu. Wataknya masih sama, cuma jalan cerita yang berbeza. Jalan cerita yang akan menamatkan kisah sebelumnya dalam “CORETAN SEORANG PERINDU (2)”.

*******************************************************

PART 2

PERJALANAN CORETAN SEORANG PERINDU (2) BERMULA.......

IMRAN 

Imran mempercepatkan langkahnya agar jejak yang diekori tidak hilang dari pandangan matanya. Dia pasti dengan gerak hatinya. Itulah orang yang dicari selama ini. Jejak itu semakin lama semakin laju, seakan mengetahui dirinya diekori. Namun, beberapa minit kemudian, orang yang dijejak itu cuba memperlahankan langkahnya. Begitu juga dengan Imran.
“Mohd Darwish Zacquan?”. Suara itu memanggil namanya.
Darwish menoleh. Dilihat wajah gerangan yang memanggilnya itu. Lama dia merenung. Wajah seorang sahabat yang banyak menolongnya suatu ketika dahulu disaat dia membawa hati yang lara.
“Imran?”
“Ya Darwish, aku Imran. Sahabat yang kau tinggalkan enam tahun dahulu. Terperanjatkan, aku boleh jumpa kau kat sini. Dunia ni kecil je Darwish, jauh mana kau merajuk dan lari, pasti akan ketemu jua.”

**************************************************

 NUR ARIANI ARISSA

Ramadhan datang menjengah lagi tahun ini. Tidak lama lagi Syawal akan mengambil tempat menggantikan Ramadhan Al-Mubarak. Namun, hari-hari yang berlalu bagaikan tiada apa-apa makna buat dirinya. Arissa tiada tempat untuk menagih simpati. Ibu bapanya pergi buat selama-lamanya taktala usianya menjangkau setahun. Teratak Kasih Nilam Sari menjadi tempat dia membesar bersama rakan-rakan yang lain. Setiap kali tibanya Syawal, pasti pusara ayah dan bonda menjadi tempat kunjungan wajibnya. Usai melawat pusara mereka, pusara Iskandar menjadi tempat kunjungan keduanya. Itulah rutinnya setiap tahun apabila Syawal mengunjung tiba.

************************************************

MOHD DARWISH ZACQUAN

Genap enam tahun dia meninggalkan tanah kelahirannya. Pergi membawa diri dan hati yang rajuk. Mohd Alif Iskandar sudah pergi meninggalkan dirinya buat selama-lamanya. Tiada lagi kasih sayang seorang abang merangkap sahabat baik buat dirinya. Hanya kenangan bersama Iskandar menjadi peneman dikala duka. Yang tinggal hanya kasih sayang papa dan mama yang sudah dianggap seperti ibu bapanya sendiri. Puan Nurlisa tidak pernah jemu memujuknya untuk pulang ke tanah air, namun pelbagai alasan yang diberi. Tetapi, selepas pertemuan tidak sengaja dengan Imran, hatinya seakan terbuka untuk pulang. Darwish sendiri tidak mengerti dengan perasaannya itu. Adakah disebabkan pujukan Puan Nurlisa ataupun ada sebab lain. Pertemuannya dengan Imran telah membuatnya berfikir berkali-kali. Apakah patut dia pulang ke Malaysia????

**********************************************

IMRAN

Sampainya di Malaysia, orang pertama yang akan dicari adalah Arissa. Sudah semestinya berita ini akan disampaikan kepada gadis itu. Setelah sekian lama mencari, Imran berjumpa jua dengan Darwish. Setelah menceritakan segala-galanya tentang Arissa, Imran dapat merasakan Darwish terbuka sedikit hatinya untuk pulang, apatah untuk bertemu dengan Arissa. Sudah tidak sanggup rasanya melihat Arissa menunggu kepulangan Darwish. Arissa sanggup menutup pintu hatinya untuk orang lain kerana Arissa begitu yakin dengan penantiannya. Imran amat takut pada keyakinan yang terlalu tinggi Arissa terhadap kepulangan Darwish biarpun Arissa sendiri tidak tahu bila Darwish akan pulang. Kini, dia berharap agar Darwish pulang bertemu dengan Arissa kerana Imran tahu, penantian adalah satu penyiksaan.

********************************************

NUR ARIANI ARISSA

Ada kegembiraan terpancar di sudut hatinya apabila menerima berita dari Imran. Seseorang yang ditunggu selama ini sudah ditemui. Sebelum ini sahabatnya, Intan sudah banyak kali menasihati agar melupakan Darwish, namun Arissa tetap berdegil dengan keputusannya. Semuanya kerana dia yakin yang Darwish akan pulang menemuinya. Masih terngiang-ngiang perbualannya dengan Intan tempoh hari;

“Arissa, kau yakin ke yang Darwish akan pulang?” Intan memulakan perbualannya.
“Aku yakin dia akan pulang.” Yakin sungguh jawapan Arissa.
Intan takut Arissa akan kecewa dengan penantiannya. Namun sebagai menghormati keputusan sahabatnya dia hanya menyokong pendirian Arissa. Hanya Arissa sahaja tahu apa yang terbaik buat dirinya. Dan Intan berdoa agar penantian Arissa tidak sia-sia.

Arissa tahu sebagai kawan baik, Intan hanya mahu yang terbaik buat dirinya. Arissa sendiri tidak tahu dengan apa yang terbaik buat dirinya sama ada menanti atau melupakannya. Namun, setelah Imran memberitahu tentang pertemuannya dengan Darwish, di hatinya terbit sedikit sinar keyakinan terhadap penantiannya itu.

*********************************************

MOHD DARWISH ZACQUAN

Nur Ariani Arissa....nama yang begitu dekat dengannya. Nama yang telah terukir di tangkai hatinya. Namun keadaan merubah segalanya. Demi kasih seorang adik kepada abang, dia sanggup mengorbankan cinta buat abangnya. Tetapi Allah Maha Mengetahui. Setelah apa yang dibuat pada Arissa, Darwish tidak menyangka Arissa masih setia menantinya.

“Kalau kau tengok Arissa sekarang, dia dah tak macam dulu. Hati dan jiwanya kosong. Dia tidak lagi sekuat dahulu. Airmata menjadi mainannya.”

Terngiang-ngiang di telinganya, cerita Imran tentang Arissa. Arissa yang dia kenal tidak seperti itu. Arissa seorang yang kuat semangat dan tabah. Tetapi Arissa tidak boleh disalahkan, semuanya berpunca dari dirinya. Sehinggakan Arissa sanggup menutup pintu hati semata-mata menanti kepulangan dirinya. Enam tahun lamanya. Tekad dipasang dan kesilapannya itu harus ditebus sebelum terlewat.

*************************************************

IMRAN & INTAN

“Darwish jangka sampai pukul berapa?” Intan bertanya.
Lebih kurang pukul 2 petang. Aku ambil dia kat KLIA nanti. Kenapa?” Imran pula yang bertanya kepada Intan.
“Aku rasa tak sedap hatilah. Dari semalam lagi.”
“Perasaan kau je tu. Apa yang kau fikir?”
“Erm...tak de apa sebenarnya. Tapi hati aku je yang berdebar-debar.”
“Banyakkan berdoa semoga semuanya berjalan lancar.”
Imran menasihatinya. Sebenarnya Imran juga berperasan seperti Intan. Namun dia cuba menidakkannya dan berdoa agar semuanya baik.
Dalam mereka berborak, ada panggilan dari nombor yang tidak dikenali tertera di skrin telefon Intan. Intan menjawab panggilan tersebut. Beberapa minit kemudian......
Airmata Intan bergenang. Imran mengerutkan dahinya.
“Imran.....Arissa kemalangan. Kritikal.”
Bagaikan terhenti degupan jantungnya, taktala mendengar butiran kata yang keluar dari mulut Intan. Saat sampai ke gegendang telinganya terasa seperti semuanya terhenti. Dalam pada itu fikirannya teringat pada Darwish yang dalam penerbangan pulang ke Malaysia. Percaturan apakah ini??? Sempatkah mereka bertemu????

**************************************************

MOHD DARWISH ZACQUAN

Air mata lelakinya gugur tanpa dipaksa. Pada mulanya dia tertanya-tanya kenapa Imran membawanya ke hospital. Segalanya terjawab setibanya di hospital, dirinya bagaikan lemah tidak berdaya. Pulangnya untuk bertemu Arissa, tetapi dia hanya dapat melihat tubuh Arissa terbaring di atas katil. Dengan longlai, Darwish melangkah masuk ke bilik itu.
“Darwish, kau nak aku papah masuk ke dalam?” Imran bertanya setelah melihat sahabatnya itu lemah. Darwish hanya menggeleng. Imran faham perasaan sahabatnya ketika ini.
Darwish duduk di birai katil tempat Arissa terbaring. Empangan air matanya tumpah sekali lagi. Ada sedikit sedu pada tangisannya. Merajuknya telah memakan diri. Kini dia berasa menyesal dengan tindakannya enam tahun yang lalu. Arissa takkan jadi begini kalau dirinya tidak merajuk. Penantian Arissa tidak mampu dibalasnya. Cintanya pada Arissa tidak pernah padam biarpun terpaksa berkorban kasih. Kini, di saat dia ingin menebus kesilapannya, Arissa tidak bermaya, apatah melihat insan yang ditunggunya hadir di depan mata. Di sebalik cermin bilik itu, Imran dan Intan dapat melihat apa yang berlaku di dalamnya. Hati siapa tidak luluh, apabila melihat orang yang disayangi tidak sedarkan diri dan terbaring di atas katil. Sesuatu yang tidak dijangka sama sekali berlaku pada pertemuan ini.
Benarlah, kita hanya merancang, tetapi Allah yang menentukan segalanya kerana hanya Dia yang tahu apa yang terbaik buat hambaNya. Imran dapat merasakan Darwish memerlukan seseorang di sisinya. Dan dia melangkah masuk, diikuti oleh Intan.
“Bersabarlah. Kalau kau kuat, Arissa akan jadi lebih kuat semangatnya. Biarpun dia tidak sedarkan diri, tapi dia dapat mendengar.” Imran memujuk Darwish.
Setelah reda tangisannya, Darwish bersuara.
“Arissa, orang yang kau tunggu dah balik. Aku dah balik Arissa. Aku balik nak bertemu dengan kau. Aku nak minta maaf atas kesilapan aku terhadap kau. Arissa, tolonglah kuatkan semangat kau. Aku tau kau seorang yang kuat. Jangan mudah patah semangat. Aku takkan merajuk lagi. Aku akan hargai kau seadanya. Berilah aku peluang itu Arissa. Berilah aku peluang untuk membalas segala penantian kau selama ini. Bangunlah Arissa.”
Sekali lagi air mata Darwish mengalir. Tuturnya sudah mula diselangi dengan sedu. Intan sudah tidak sanggup berhadapan dengan situasi itu, melangkah keluar. Di luar tangisan Intan menjadi tidak keruan.
Darwish menangis di bahu Imran.
“Aku yang salah Imran..semua salah aku...”
“Darwish...jangan macam ni. Semuanya sudah ketentuan Ilahi. Kita hanya merancang, tetapi Allah lebih Maha Mengetahuinya.”
“Kalau aku tak merajuk, tentu Arissa tak macam ni...”
“Listen, Arissa kemalangan bukan sebab kau. Kita tak boleh menyalahkan takdir. Kita kena redha. Setiap yang berlaku pasti ada sebabnya.”

“Tapi....”
“Dah..aku tak nak kau cakap yang bukan-bukan. Sekarang ni kita berdoa semoga Arissa selamat.” Imran memotong cakap Darwish. Dan Darwish akur dengan sahabatnya itu. Doanya semoga Arissa cepat sembuh dan sedarkan diri agar dia dapat melihat orang yang dinanti berada di depan mata. Bertemukah mereka????


***************************************************

PART 3

EPILOG

Tidak semena-mena air matanya mengalir merentasi kelopak matanya. Baik Marlisa mahupun Iman, mereka sedih dengan kisah itu. Penantian Arissa tidak sia-sia, biarpun sekejap dapat berjumpa dengan orang  yang ditunggu selama ini. Namun takdir telah tertulis. Allah memakbulkan doa Arissa selama ini, namun Allah lebih menyayanginya. Perginya di hari terakhir Ramadhan meruntun jiwa sekiranya mereka berada di situasi itu.
“Kau janganlah nangis Lisa, tengok......aku pun ikut nangis..”
“Mana boleh tak nangis, kenapa kau buat cerita ni sad ending?”
“Kenapa? Kisah ni memang betul-betul sad ending.”

Marlisa mengerutkan dahinya. Serentak itu telefon Iman berbunyi menandakan ada mesej masuk.
“Lisa..jom siap, abang chik nak belanja berbuka puasa.”
“Wow...abang chik nak belanja makan.” Marlisa memang mengenali abang sepupu Iman. Kekerapan abang chik menjengah Iman di kolej, membuatkan dia turut mengenali abang sepupu Iman.

*********************************************************

 IMAN, ABANG CHIK & MARLISA

“Alhamdulillah...kenyang nyer. Hai abang chik, bonus masuk ke?” Iman mengusik.
“Orang dah belanja, banyak pulak cakap. Abang suruh bayar sendiri nak?”
Iman menggeleng kepalanya lalu tersenyum mendengar gurauan abang sepupunya.
“Lisa kenyang tak..?”
“Terlebih kenyang abang chik, alhamdulillah.” Marlisa menjawab.
“Ok. Jom, nanti terlepas Maghrib.” Serentak itu mereka bertiga meninggalkan meja makan menuju ke kereta yang diletakkan tidak jauh dari restoren itu.
Dalam perjalanan pulang ke kolej, Iman bertanyakan sesuatu kepada abang sepupunya itu. Marlisa yang duduk di belakang hanya diam dan menjadi pendengar yang setia. Tidak berani untuk dia menyampuk perbualan itu.
“Abang chik dah buat keputusan dengan cadangan maklong tu ke?”
“Erm...dah dan abang terima.” Tenang jawapannya.
Iman mengerutkan dahinya.
“Abang chik pasti tak nak kenal-kenal dulu dengan perempuan tu?” Iman bertanya lagi.
Mana taknya, abang sepupunya itu terima sahaja jodoh pilihan keluarganya.
“Abang dah buat istikharah dan Allah telah memberikan petunjuk itu. Abang tak nak buat orang tertunggu-tunggu. Penantian adalah satu penyiksaankan?”
Mendalam sungguh maksud ayat yang terakhir itu. Iman diam mendengar jawapan abang sepupunya. Benar. Penantian itu satu penyiksaan.
“Abang chik redha dengan pemergiannya?”
“Kita kena redha Iman, menangis air mata darah sekalipun, dia takkan muncul depan kita. Kalau muncul, abang orang pertama lari..” Sempat lagi lelaki di sebelah Iman membuat lawak.
“Huh..orang serius dia buat lawak pulak.”
Marlisa yang duduk di belakang pun turut tersenyum. Namun di dalam hatinya tertanya, siapakah gerangan yang mereka bualkan.
“Ok. Dah sampai pun kat kolej. Cuti raya nanti abang chik datang ambil. Maklang dah pesan mintak tolong bawak balik Iman sekali ke rumah tok wan”
“Ok bos.”
Suka Marlisa melihat keakraban dua sepupu ini, rapat bagaikan adik-beradik. Setelah kereta abang chik meluncur keluar dari pintu pagar kolej, mereka berdua mempercepatkan langkah agar Maghrib tidak meninggalkan mereka. Usai Maghrib dan mengaji, mereka berdua duduk di katil masing-masing sementara menunggu masuknya solat Isyak.
“Eh..Iman, petang tadi kau tak jawab lagi soalan aku.”
“Soalan yang mana?”
“Ala...pasal cerita yang kau tulis tu. Kau kata kisah tu memang betul-betul sad ending, maksudnya apa?”
“Erm...memang betul-betul sad ending. Kisah seseorang yang aku adaptasi ke satu coretan setelah mendapat kebenaran tuan empunya diri”
“Tapi kisah siapa?” Marlisa bertanya lagi.
“Kisah siapa yer?” Iman mengenakan sahabatnya.
“Huh..cepatlah bagitau.” Desak Marlisa.
“Kau tau nama sebenar abang chik?” Iman bermain teka-teki dengan Marlisa.
Marlisa menggeleng.
“Nama sebenar abang chik ialah.....Mohd Darwish Zacquan.”
“Sedapnya nama abang chik. Eh..tu bukan nama dalam cerita yang kau tulis. Kau guna nama abang chik rupanya.” Marlisa masih tidak dapat meneka.
“Dialah orangnya. Coretan itu adalah kenangan dalam hidupnya.
Terlopong Marlisa mendengarnya.
“Coretan itu, kisah benar abang chik?”
Iman menganggukkan kepalanya.
“Wow..surprise.”
“Dialah Mohd Darwish Zacquan yang telah kehilangan orang tersayang, Nur Ariani Arissa di hari terakhir Ramadhan tahun lepas.”
Terdiam lagi Marlisa mendengarnya. Selama ini dia memang tak pernah tahu nama penuh abang sepupu Iman. Patutlah di dalam kereta tadi dia terdengar abang chik menyebut perkataan penantian satu penyiksaan. Rupa-rupanya coretan yang ditulis Iman adalah kisah lelaki itu.
“Tapi abang chik dah redha dengan pemergian Arissa. Lepas raya nanti dia dah nak bertunang dengan pilihan mamanya.” Iman menyambung peluang.
“Ooooo...tapi aku tengok dia macam biasa je. Macam tak pernah terjadi apa-apa.”
“Tapi kita tak tahu hatinya.”
“Betul  jugak. Habis tu, kak chik dah boleh terima dia ke?”
“Selepas pemergian abang Iskandar, kak chik sedar yang dia telah melakukan kesilapan besar dan berusaha untuk memulihkan hubungannya dengan abang chik.”
“Wait, kak chik dan abang chik?” Marlisa sedikit keliru.
“Diaorang sebaya.”
Marlisa mengangguk faham. Lupa pulak abang sepupu Iman tu anak angkat.
“Tapi kau simpan tau rahsia ni. I trust you, Marlisa.”
“Don’t worry. Aku pegang janji tu.”
Iman tersenyum dan berharap agar kebahagian menjadi milik abang sepupunya itu.

*****************************************************

MOHD DARWISH ZACQUAN

Bersendirian di dalam kereta membuatkan air mata lelakinya jatuh jua. Apatah lagu Setitis Cahaya di Aidilfitri nyanyian Aisyah berkumandang. Membuatkan hatinya bertambah sayu. Namun cepat-cepat dia tersedar dari mainan hatinya. Darwish redha dengan pemergian Arissa dan dia tahu Allah lebih menyayangi Arissa. Doanya di dalam hati, semoga Arissa ditempatkan dikalangan orang-orang yang beriman dan semoga rohnya dicucuri rahmat. Nukilan terakhir Arissa kepada dirinya akan disimpan sebagai kenangan terindah antaranya dan Arissa.

Tuhan memberi kita….
Dua kaki untuk berjalan
Dua tangan untuk memegang
Dua telinga untuk mendengar
dan Dua mata untuk melihat,
Tetapi mengapa Tuhan hanya
menganugerahkan sekeping hati pada kita?
Kerana Tuhan telah memberikan sekeping
hati lagi pada seseorang untuk kita mencarinya.
Itulah namanya cinta…..

Semoga engkau tenang di sana Arissa. Itu doa aku buat dirimu, Nur Ariani Arissa.

~ TAMAT ~

4 comments:

Anonymous said...

huhuhuhuhu tak mau bace lg... sedih.. huwaaaaaaa

Penakumenulis said...

ANONYMOUS a.k.a FARAH:
Heheheheheh...terbuat sad ending lak...:-)

Anonymous said...

saya seorang lelaki dan dah baca cerita ni,..part 1,part 2 n part 3..sumthing i wanna say is u,re very talented..thumbs up..teruskan berkarya..cerita ni sgt2 best n sngt2 unik,..

Penakumenulis said...

ANONYMOUS:
Terima kasih kerana sudi membaca Edisi Khas Raya : Coretan Seorang Perindu (2) di blog ini dan menghargai karya yang ditulis. Kisah ini adalah kesinambungan dari Coretan Seorang Perindu yang pertama. Dan saya harap saudara sudah membacanya.:-)
Saya bukanlah penulis terhebat, saya hanyalah penulis picisan yang menulis kerana minat dan ingin berkongsi cerita dengan pembaca blog ini.
Terima kasih di atas kata-kata semangat dan sokongan saudara..dan saya bersyukur dengan bakat dan ilham yang dikurniakan Allah..:-)